Monday, November 16, 2015

Hidup ini indah

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria

Hidup ini indah.

Sejak masuk tahun 2016, aku bersemangat waja. Ya, aku juga punya kereta waja, bolehlah tumpang semangat kereta ye, hehe.

Semangat yang berkobar-kobar aku mulai dengan acara #freemarket aku yang kedua di Flat Bagan Dalam, Bagan, Butterworth. Yang pertama dahulu di Flat Paya Nahu, Sungai Petani, Kedah.

Sejak aku sertai #freemarket ini, bermacam dugaan sudah aku tempuhi. Yang paling berat adalah diri sendiri. Itu belum dikira dengan pelbagai ragam orang yang menelefon bertanyakan perihal konsep yang baru di Malaysia ini.

Tidak kurang juga yang sarkastik, seolah-olah aku dan kawan-kawan membuat satu kesalahan dengan menawarkan barang atau perkhidmatan kemasyarakatan secara percuma. Pelik juga manusia kadang-kadang. Huh.

Namun, aku tidak mudah goyah. Aku sudah mencongak perkara sebegini bakal muncul dalam hidup aku. Bukan mudah juga laluan hidup aku sehingga mencapai ke tahap sekarang. Jadi, jika ada yang beranggapan aku anak emas ayah yang diberikan serta diturutkan segala kehendak aku dengan mudah, ternyata mereka memang tidak mengenali aku.

Biarlah, meladeni perasaan serta aura negatif harus dengan pancaran yang positif.

Alhamdulillah, suami tercinta serta ahli keluarga memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi. Bagi aku, itu sudah cukup. 

Moga aku terus diberi kekuatan untuk terus memberi tanpa mengharapkan balasan.

Ya, hidup ini sangat indah.

Ameen.